Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Uniknya Budaya Orang Asli di Selangor

By 26 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amir Rithauddin Roslan

HULU SELANGOR, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Terdapat 74 buah Kampung Orang Asli yang unik dan masih wujud di lima daerah di negeri Selangor yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancong.

Keunikan pakaian tradisi masyarakat Orang Asli suku kaum Mahmeri.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor Papparaidu Veraman, keunikan budaya tradisi masyarakat Orang Asli khususnya di negeri Selangor harus diketengahkan melalui pelbagai medium dan pendekatan agar ia kekal lestari seterusnya mampu diwarisi oleh generasi muda akan datang.

“Sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai paling banyak suku kaum Masyarakat Orang Asli, saya berharap agar peluang ini diambil oleh semua pihak dalam mempromosikan keistimewaan ini sebagai salah satu tarikan utama bagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan datang,” katanya.

Program yang dihadiri kira-kira 600 orang pegunjung itu turut mengadakan pelbagai pameran dan acara seperti persembahan tarian sewang, peragaan busana pelbagai suku kaum, demonstrasi masakan, kraf tangan, kaedah menangkap ikan, pertandingan menyumpit, pertandingan karaoke dan kenduri rakyat.

Gadis-gadis dari suku kaum Temiar mempamerkan kebolehan mereka membuat kraf tangan.

Papparaidu yang hadir merasmikan program sambutan Hari Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Tahun 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor di Kampung Orang Asli Serigala, Hulu Bernam, di sini semalam turut melawat pameran bersama Ketua Pengarah JAKOA Datuk Sapiah Datuk Mohd Nor, Pengarah JAKOA Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Mohamad Anis Othman serta ketua-ketua jabatan dan komuniti Daerah Hulu Selangor.

Penganjuran sambutan Hari Orang Asli ini merupakan salah satu inisiatif berterusan pihak JAKOA dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat umum terhadap adat dan sosiobudaya komuniti Orang Asli khususnya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan di samping merapatkan silaturahim antara satu sama lain.

Terdapat tiga suku kaum utama Orang Asli yang ada di negeri Selangor iaitu Mah Meri, Temuan dan Semai manakala suku kaum Temiar di Wilayah Persekutuan.

Bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan, program ini turut dimeriahkan dengan nyanyian lagu patriotik, penyerahan Jalur Gemilang oleh Jabatan Penerangan kepada Pengarah JAKOA Negeri Selangor sebagai simbolik menyemarakkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ peringkat komuniti masyarakat Orang Asli.

-ZS-

Tinggalkan komen anda