
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Voluntourism: Pelepasan Benih Ikan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Labuan mampu memberi kesedaran kepada orang awam terhadap kepentingan memulihara ekosistem perikanan darat untuk generasi akan datang.

Sebanyak 2,500 ekor benih ikan siakap air masin dilepaskan di Sungai Kinabenua.
Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Sufian Ahmad tindakan dan kesedaran masyarakat penting untuk diikuti generasi akan datang.
“Membentuk diri menjadi agent of change (agen perubahan) bukanlah perkara sukar, kerana ia berbalik kepada diri kita sendiri untuk menjadi contoh kepada generasi muda agar apa yang kita lakukan hari ini akan berkesinambungan pada masa hadapan,” katanya semasa merasmikan program itu, di sini pagi tadi.
Jelasnya, Jabatan Perikanan Labuan telah melepaskan lebih kurang 12,000 ekor benih ikan siakap air masin di Sungai Kinabenua, Labuan sekitar tahun 2021 hingga 2023 yang lepas.

Sufian (empat dari kiri) bersama semua tetamu dan peserta program bergambar kenangan.
“Justeru itu, orang awam yang memiliki ikan asing sebagai ikan peliharaan diingatkan agar lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan ikan tersebut ke perairan umum kerana itu akan menyebabkan ikan-ikan di kawasan tersebut menjadi mangsa kepada ikan asing yang bersifat lebih agresif,” katanya.
Pada program itu sebanyak 2,500 ekor benih ikan siakap air masin dilepaskan di Sungai Kinabenua memandangkan keadaan ekosistem yang agak sesuai dan untuk pertambahan stok ikan di perairan umum.
Hadir sama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Labuan Khairul Amin Abd Rashid dan Pengarah Tourism Malaysia Sabah Haryanty Abu Bakar.
-ZS-