
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Warga wilayah itu diseru untuk segera mengibarkan Jalur Gemilang di tempat-tempat yang sesuai terutamanya di rumah kediaman masing-masing.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan, Azman Sipan warga Labuan perlu mengambil kesempatan dengan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) yang bakal tiba untuk menyahut seruan kerajaan melalui inisiatif 1 Rumah Jalur Gemilang (1R1JG).

Azman semasa bersiaran di LABUANfm.
“Mengibar bendera di rumah adalah satu perbuatan yang melambangkan patriotisme dan cinta kepada negara selain menunjukkan sokongan dan semangat kenegaraan, terutamanya semasa sambutan Hari Kebangsaan.
“Secara dasarnya, kempen kibar Jalur Gemilang merupakan satu inisiatif penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia,”katanya semasa bersiaran dalam Program Bicara Ekslusif, LABUANfm semalam.
Sementara itu, Azman turut memaklumkan bahawa JaPen akan menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Labuan pada 11 Ogos ini.

Azman (dua dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada penyampai radio LABUANfm.
“Majlis itu akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa dan antara pengisian majlis adalah seperti Pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka, Pertandingan Pakaian Beragam Kemerdekaan, pameran dan perkhidmatan agensi serta pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) melibatkan 30 unit kenderaan mengelilingi Pulau Labuan serta singgah di beberapa lokasi di sekitar pulau ini.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Labuan yang diterajui Perbadanan Labuan bersama pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), Majlis Perwakilan Penduduk, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti MADANI yang berganding bahu melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024,” jelasnya.
-ZS-