Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Zahir Semangat Patriotisme Melalui Kibaran Bendera

By 4 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Johny Joklis/Noorsiah Mahmud 

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Sinonim dengan apa jua acara bertunjangkan semangat patriotik, upacara menaikkan Jalur Gemilang akan mendapat perhatian ramai tatkala lagu Negaraku berkumandang.

Mohd Ali (kanan) bersama rakannya Muhammad Aidil Afif

Tampak mudah, namun setiap kiraan detik dan rentak Negaraku sangat penting untuk diselarikan dengan disiplin menaikkan bendera bagi memastikan kibarannya sampai ke puncak tepat di penghujung lagu.

Laskar Kanan Mohd Ali Saripuddin 34, bertugas di Bahagian Persenjataan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar, antara perwira yang menggalas tanggungjawab tersebut semasa upacara Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di sini kelmarin.

Selain bangga, anak muda itu turut menggambarkan rasa teruja menjadi antara anggota yang terpilih untuk menyempurnakan upacara tersebut disaksikan ribuan rakyat Sabah yang hadir secara fizikal dan dalam talian.

“Saya sudah beberapa kali menggalas tugasan ini, tugas ini merupakan satu kebanggaan kepada saya kerana dapat mewakili Tentera Laut DiRaja Malaysia.

“Saya akan terus menyumbang khidmat bakti dan menyertai tugasan ini kerana ianya juga adalah salah satu bukti semangat cintakan negara kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.

Seorang lagi anggota TLDM yang terlibat, Laskar Kanan Muhammad Aidil Afif Azaman 27, berkongsi pendapat yang sama dengan rakan sejawatannya itu.

Sekitar suasana Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera peringkat Negeri Sabah 2024

“Bagi saya tugas menaikkan bendera bukan sahaja kerana tanggungjawab yang diberikan tetapi merupakan sumbangan dan penglibatan kita dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.

“Justeru, saya mengajak kepada generasi muda untuk terus menyemai semangat cinta kepada negara dalam diri masing-masing,” ujarnya.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan majlis tersebut juga menandakan bermulanya konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Sabah yang akan bermula pada 8 sehingga 26 Ogos 2024.

-AA-

Tinggalkan komen anda