Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Zoo Johor Dibuka Semula 31 Ogos Ini

By 16 Ogos 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Malaysiaaktif) – Zoo Johor akan dibuka secara rasminya kepada umum bermula pada 31 Ogos ini selepas kerja-kerja menaik taraf zoo tertua di Malaysia ini siap dilaksanakan.

Onn Hafiz mencuba sistem e-tiketing yang sudah dinaik taraf sempena pembukaan semula Zoo Johor.

Pembangunan semula Zoo Johor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan Zoo Johor sebagai salah satu tarikan dan produk pelancongan keluarga di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pembangunan semula Zoo Johor juga adalah agenda Kerajaan Johor untuk menjayakan Tahun Melawat Johor yang akan diadakan pada tahun 2026.

“Kerajaan Johor memperuntukkan RM9.67 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan zoo, sistem e-tiketing, laluan pejalan kaki dan interlocking (memanca) di Jalan Gertak Merah.

Galeri Zoo Johor antara tarikan baru buat warga tempatan dan luar negara yang akan mula mengunjungi zoo ini pada 31 Ogos nanti.

“Sempena pembukaan semula Zoo Johor, Kerajaan Negeri akan memberi potongan 50 peratus harga tiket untuk pengunjung dewasa dan percuma bagi pengunjung kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU),” katanya selepas program walkabout (jelajah mesra) Zoo Johor, di sini hari ini.

Datuk Onn, berkata potongan harga ini adalah untuk tempoh selama satu bulan bermula 31 Ogos hingga 30 September 2024.

Beliau turut memaklumkan, pada tempoh tersebut pengunjung digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan oleh pihak Pengangkutan Awam Johor (PAJ) bermula di tempat letak kenderaan Penjara Ayer Molek dan drop off (serahan) di Zoo Johor.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda