
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 20 nelayan menerima Lesen Sampan Khas sempena Majlis Penyampaian Lesen Sampan Khas dan Penyerahan Bantuan Unjam kepada MyKomuniti Perikanan Rungkup di Dewan Masjid Tuminah Hamidi, di sini semalam.
Menurut Pengarah Perikanan Negeri Perak Mohd Ghazali A. Manap, lesen ini diserahkan kepada nelayan yang terlibat setelah terdapat kekosongan Kuota Perlesenan Nelayan di daerah Bagan Datuk.

Lesen Sampan Khas yang diterima oleh nelayan di daerah Bagan Datuk.
“Nelayan terlibat telah ditemuduga serta dinilai kelayakannya dengan syarat yang ketat dan usaha ini turut mendapat sokongan dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk.
“Bayaran untuk memperbaharui lesen hanya serendah RM9 dan boleh dipindah milik kepada anak yang juga bekerja sebagai nelayan setelah kematian bapanya,” jelasnya.
Tambah Mohd Ghazali, sekiranya lesen tersebut tidak diperbaharui dalam tempoh setahun, rayuan masih dibenarkan namun jika melebihi tiga tahun maka lesen ini akan terbatal mengikut Dasar dan Prosedur Perlesenan Vesel dan Peralatan Menangkap Ikan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya berterima kasih atas inisiatif Kerajaan MADANI untuk membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di daerah Bagan Datuk.
“Terima kasih juga atas bantuan penyerahan 65 set unjam yang bernilai RM49,600.

Datuk Shahrul Zaman (tiga dari kanan) menyerahkan Lesen Sampan Khas kepada Koh Keat Seng.
“Harapan agar melalui bantuan ini akan membantu nelayan meningkatkan pendapatan dan memudahkan mereka menangkap ikan di kawasan habitat yang telah ditanda,” ujarnya ketika berucap merasmikan majlis.
Bagi penerima, Koh Keat Seng, 53, dia berasa teruja kerana berjaya memperoleh Lesen Sampan Khas setelah menunggu selama tiga tahun.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Perikanan kerana memudahkan proses pemberian lesen ini,” ujarnya.
Hadir sama, ADUN Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Bagan Datuk Mohd Muhsin Hanis Shahruddin.
-ZS-