
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
ALOR SETAR, 7 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Anugerah Kecemerlangan Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad (KGMKB) tahun 2024 telah diadakan semalam bertempat di Dewan Dato’ Cikgu Haji Shaari, Aras 1 Menara Guru, Alor Setar bagi meraikan para pelajar yang cemerlang dalam pelajaran pelbagai peringkat.

Suasana sepanjang program berlangsung.
Seramai 393 orang telah menerima sumbangan anugerah kecemerlangan dalam akademi merangkumi Ijazah Pertama, Ijazah Sarjana Muda, Matrikulasi, Asasi, Diploma, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia yang telah melibatkan peruntukan sebanyak RM129,300.
Setiausaha KGMKB Haji Ahmad Rosli Din ketika ditemui semalam, berkata koperasi guru ini bukan sekadar hanya mencari keuntungan, tetapi turut menitikberatkan kebajikan anggota dan ahli keluarga anggota.
“Pelbagai program kebajikan telah dilaksanakan seperti memberi sumbangan kepada anggota yang ditimpa bencana atau keuzuran, sumbangan jariah kepada anggota atau ahli keluarga anggota yang telah meninggal dunia, sumbangan kecemerlangan dalam bidang pendidikan, dan turut memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan bagi pembaikan surau,” ujarnya.

Suasana sepanjang program berlangsung.
Pengarah Pendidikan Negeri Kedah Haji Ismail Othman ketika merasmikan majlis tersebut menekankan bahawa tugas mendidik juga telah diambil oleh ibu bapa dengan ledakan digital dalam pembelajaran.
“Tugas ini memerlukan satu bentuk kerjasama yang erat antara warga sekolah dengan masyarakat khususnya ibu bapa agar modal insan yang dilahirkan mampu memenuhi keperluan negara,” ujarnya.
Turut hadir Pengerusi Unit Kebajikan Haji Osman Toroh, semua anggota Lembaga Koperasi, kakitangan KGMKB, serta para pelajar bersama waris masing-masing.
-ZS-