
Laporan/foto: Mohammad Abd Rahman/Cassidy Lisut (Sarawak)
KUCHING, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai kira-kira 5,000 orang mengunjungi Program Jualan Rahmah (PJR) di Tapak Metrocity Event Park, Matang, di sini semalam.

Khanisah (depan) hadir di Jualan Rahmah di Tapak Metrocity Event Park, Kuching pada Ahad.
PJR semalam adalah hari ketiga yang berlangsung sejak pada 20 September lalu.
Salah seorang pengunjung Khanishah Azween Kamaruddin, 23, yang berasal dari Sematan, Lundu, berkata PJR tersebut mendapat sambutan cukup hangat dengan keadaan yang sangat sesak dan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai pada hari terakhir penganjurannya.
“Harga barangan di jualan rahmah pada kali ini amat murah dan sebagai contoh satu rak telur yang boleh dijual dengan harga mencecah dalam RM16.00 mengkut jenis gred di tempat lain namun di program ini ia hanya RM9.00 untuk satu rak,” katanya.
Khanishah turut berpendapat bahawa program seumpama ini wajar diteruskan dan dianjurkan di kawasan lain di Sarawak pada masa akan datang.
“Program ini sangat membantu dan memberi menfaat kepada semua rakyat Sarawak dan diharap ianya diteruskan sampai bila-bila,” ujarnya.

Randuk (dua dari kanan) bersama rakan-rakan selesai membeli barang keperluan Program Jualan Rahmah di Metrocity Kuching.
Sementara itu Randuk Teh, 60, dari Matang di sini turut bersetuju agar program ini perlu di teruskan dan mencadangkan ianya turut dilaksanakan di kawasan perkampungan agar memudahkan penduduk di kawasan pedalaman khasnya.
“Program Jualan Rahmah ini sangat membantu kerana harganya lebih murah daripada kedai di luar sana dan diharap ia boleh dilaksanakan di kawasan lain seperti Sibu, Bintangor atau kawasan pedalaman lain,” katanya.
-ZS-