Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

52 Tapak Projek JENDELA di Negeri Johor Siap Dibina

By 22 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Sejumlah 52 infrastruktur telekomunikasi baharu bagi fasa satu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di negeri Johor telah siap dibina untuk mengatasi masalah capaian liputan Internet terutamanya di kawasan luar bandar di negeri ini.

Teo Nie Ching (dua dari kanan) bersama Mohd Rashidi dan Mohamad Rizal Ahmad ketika sesi pengujian kelajuan data di tapak menara telekomunikasi Felda Inas, Kulai.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan arahan kepada pembekal perkhidmatan agar baki daripada keseluruhan 107 menara telekomunikasi di negeri ini perlu sedia memberikan perkhidmatan (on-air) pada hujung tahun ini.

“Jika menara sudah siap namun tidak sempat disambung dengan rangkaian fiber, saya minta pembekal perkhidmatan untuk memasang sambungan gelombang mikro atau rangkaian satelit seperti Starlink supaya tidak timbul tanda tanya daripada penduduk mengenai capaian Internet,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak menara telekomunikasi di Felda Inas, di sini semalam.

Menurut Nie Ching, pembinaan menara telekomunikasi baharu di Felda Inas yang mula beroperasi sejak Julai lalu akan memberi manfaat kepada lebih 1,600 orang penduduk di kawasan ini.

“Sebelum ini liputan internet kurang memuaskan dan sekarang apabila menara telekomunikasi sudah siap, penduduk di kawasan luar bandar dapat menikmati jaringan telekomunikasi 4G yang lebih baik,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Kulai Fizwan Mohd Rashidi, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor Mohamad Rizal Ahmad dan Pengarah Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor.

-ZS-

Tinggalkan komen anda