
Laporan/foto: Zamrud Laili Mohd Mustap/Abdul Waasiek Ahamd Fikri
BAYAN LEPAS, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Program Karnival Kita MADANI 2024 peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Masjid Al-Qahhar, Permatang Damar Laut, di sini hari ini meriah apabila sebanyak sembilan aktiviti sukaneka dipertandingkan kepada masyarakat setempat.

Pertandingan Kerusi Berirama.
Aktiviti yang dianjurkan adalah Pertandingan Azan, Pertandingan Mewarna Kaligrafi, Pertandingan Musang Berjanggut, Pertandingan Basikal Berhias, Pertandingan Basikal Lambat, Pertandingan Motosikal Lambat, Pertandingan Timbang Bola Takraw dan Bola Sepak, Pertandingan Cilik dan Pertandingan Keluarga Cari Orang Tersayang.
Penduduk, Salasiah Hamid, 59, berkata, program sebegini bukan sahaja merapatkan hubungan silaturahim malah ianya juga dapat mengihmarahkan masjid.
“Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam aktiviti sebegini dapat memupuk semangat perpaduan antara satu sama lain.
“Saya berasa amat gembira dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang kerana memilih Kawasan Permatang Damar Laut untuk melaksanakan aktiviti sebegini dengan meriahnya,” katanya.

Pertandingan Basikal Lambat.
Karnival Kita MADANI 2024 peringkat Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Al-Qahhar dan Pejabat ADUN Batu Maung berlangsung seawal 6.00 pagi dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik.
Selain itu, 19 agensi strategik JaPen Pulau Pinang turut serta dalam menjayakan program ini apabila masing-masing turut terlibat dengan pameran dan perkhidmatan.
Perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang Hasmiza Hussin.
-ZS-