
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 30 Sep (Malaysiaaktif) – Borneo Art Festival (BAF) menjadi jambatan penting yang dapat memperkuatkan lagi hubungan antara negara ini yang mana seni budaya dijadikan sebagai medium untuk mengeratkan perpaduan serantau.

Aksi bertenaga dari salah satu kumpulan Pertandingan Tarian BAF 2024.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa hubungan antara negara dalam BIMP-EAGA bukan hanya tertumpu kepada sektor perdagangan sahaja, bahkan meliputi juga aspek persilangan budaya, di mana ia dapat menjadi titik pertemuan kepelbagaian budaya yang kaya dan beragam di Kepulauan Borneo ini.
“BAF adalah contoh bagaimana seni dan budaya dapat diangkat sebagai elemen penting dalam membina kerjasama serantau, khususnya melalui kerjasama antara negara BIMP-EAGA, yang melibatkan Brunei Darussalam, Indonesia dan juga Filipina sekali gus menonjolkan kekuatan diplomasi budaya yang terjalin di antara Labuan dengan negara-negara tersebut.
“Festival ini juga dapat mencungkil bakat-bakat seni tempatan dan boleh dikembangkan serta dipromosikan sehingga ke peringkat antarabangsa dalam masa yang sama memperluaskan lagi pengaruh seni serantau,” katanya semasa merasmikan penutupan BAF 2024 di sini semalam.

Persembahan kumpulan tarian dalam Pertandingan Tingkah Geruh menggamatkan suasana.
Pada majlis itu, beliau turut meluncurkan logo rasmi bagi pelancongan Labuan sebagai persediaan awal untuk menuju kepada Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Logo ini mengetengahkan lima elemen utama produk pelancongan di Labuan yang dipakejkan di bawah konsep 5S iaitu Sun, Sand, Seafood, Sport Tourism dan Shopping.
“Setiap elemen ini melambangkan kekuatan dan keistimewaan Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan yang dapat menawarkan pengalaman unik dan menarik kepada pengunjung,” katanya.