
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Penghulu Mukim Bebar (Pekan)

Keadaan Sungai Teritip berbuih dan bertukar warna kehitaman serta mengeluarkan bau yang busuk.
PEKAN, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Bau busuk yang disedari pada Sabtu lalu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk Kampung Serun dan Chekeroh di daerah ini.
Berikutan insiden tersebut, Tok Batin Kampung Serun Rosalin Hak membuat laporan polis di Balai Polis Nenasi.
Beliau ketika dihubungi Malaysia Aktif malam tadi, berkata ada penduduk mengadu kepadanya bahawa tali air di kampung mereka tiba-tiba berubah menjadi hitam dan mengeluarkan bau busuk.

Sampel air.
“Apabila saya sendiri pergi ke tali air tersebut, saya dapati apa yang dilaporkan adalah betul, jadi saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis,” ujarnya.
Ahad lalu, sekumpulan anggota dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Bomba dan Penyelamat (HAZMAT ) telah datang ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
Persempelan air telah diambil oleh pihak JAS dan buat sementara waktu penduduk berhampiran telah dimaklumkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berhampiran.
-ZS-