
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Noorsiah Mahmud (Sabah)
KOTA KINABALU, 17 Sep (Malaysiaaktif) – Masyarakat perlu sentiasa diberikan pendedahan dan peluang untuk mengikuti bengkel belajar bahasa isyarat bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap keperluan serta kebajikan komuniti pekak di kawasan mereka.
Presiden Persatuan bagi Orang Pekak Kota Kinabalu Liau Kee Siong, berkata selain mengajar pergerakan bahasa isyarat, peserta bengkel juga akan menjalani latihan berkomunikasi dengan orang pekak secara berperingkat.
Jelasnya, bengkel seumpamanya akan membuka lebih banyak peluang kepada komuniti pekak dalam masa yang sama mampu meningkatkan prestasi mereka dalam sektor-sektor sosioekonomi yang tertentu.
“Bengkel yang diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat kaedah atau cara berkomunikasi dengan orang pekak di mana terdapat beberapa peringkat Bahasa Isyarat Malaysia yang diajar oleh pihak kami bermula dari yang paling asas.
“Sebenarnya, orang pekak ini mempunyai pelbagai kelebihan dan potensi diri tetapi kurang diberi perhatian kerana masyarakat tidak tahu bagaimana berkomunikasi dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada bengkel pendek Bahasa Isyarat Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.
Sementara itu, Pengetua Pusat Pendidikan Persatuan bagi Orang-orang Pekak Sabah Raini Francis, berkata bengkel pendek bahasa isyarat merupakan satu peluang untuk mengangkat kredibiliti komuniti pekak dalam institusi kemasyarakatan.
“Saya lihat sesi bengkel Bahasa isyarat kali ini mendapat sambutan dan berharap akan ada lebih banyak lagi peluang diberikan kepada persatuan orang-orang pekak untuk turut mengadakan atau mengikuti bengkel seperti ini,” katanya.
Seorang peserta Kamaria Diun, 42, berkata setiap ilmu yang diperolehi daripada bengkel tersebut mudah untuk diaplikasikan dan boleh diajar kepada komuniti pekak yang lain menerusi kaedah yang telah diajar.
“Saya amat berbangga dan program seperti ini perlu diperbanyakkan pada masa akan datang agar masyarakat sedar dan tahu mengenai penggunaan bahasa isyarat ini, saya juga berharap agar apa yang saya pelajari hari ini dapat diaplikasikan dengan rakan sekerja yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran,” ujarnya.
Sebagai makluman, bengkel Bahasa Isyarat Malaysia dilaksanakan sempena program Riuh Bah! yang berlangsung pada 14 hingga 15 September di SICC Kota Kinabalu.
-ZS-