
Laporan/foto: Faizzad Kamal/Shahrizan Ismail (Batang Padang)
IPOH, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Bengkel Pelan Tindakan Pengurusan Bencana Empangan Jor Daerah Batang Padang yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Hotel Symphony Suites Ipoh, di sini kelmarin sebagai kesiapsiagaan hadapi situasi kecemasan berkaitan empangan di daerah itu.

Ahmad Redhauddin berucap merasmikan Bengkel Pelan Tindakan Pengurusan Bencana Empangan Jor Daerah Batang Padang.
“Saya percaya kesedaran dan kesiapsiagaan ini boleh dipraktikkan bukan sahaja apabila menghadapi bencana empangan malah bencana-bencana lain seperti banjir kilat dan kepala air,” katanya.
Bengkel anjuran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batang Padang dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Power Generation Sdn. Bhd. bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan agensi-agensi tempatan dalam menghadapi risiko bencana jika berlaku empangan pecah.
Di samping itu, ia memberi fokus kepada penilaian dan penambahbaikan pelan tindakan kecemasan sedia ada khususnya yang melibatkan Empangan Jor.

Sesi pembentangan pelan tindakan apabila berlaku bencana.
Ahmad Redhauddin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel tersebut.
Beliau juga berharap agar dapat mencapai objektif dalam memperkukuh persediaan semua jabatan dan agensi jika berlaku bencana.
Turut hadir Pengurus Besar Stesen Janakuasa Cameron Highlands Sa’aidan Abu Hasan serta wakil-wakil agensi kerajaan daerah Batang Padang.
-ZS-