Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Busana Merdeka Pelbagai Kaum Curi Perhatian Ramai

By 6 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH , 6 Sep (Malaysiaaktif) – Bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024, Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing Tanah Merah bersama Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah telah menganjurkan Program Jiwa Madani@Merdeka Kelab Malaysiaku dengan pelbagai pengisian acara bagi menyemarakkan dan menyemaikan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar serta guru.

Program yang berlangsung di Dewan Dato Hashim Safin, SMK Belimbing Tanah Merah kelmarin dihadiri hampir 300 pelajar dan guru.

Sarah Ainini Rhazi(kiri) bersama Anita Rahim guru pereka fesyen Busana Merdeka berciri pakaian tradisional pelbagai kaum.

Salah satu acara program yang menjadi tarikan utama ialah Pertandingan Busana Merdeka, di mana para peserta perlu berpakaian kemerdekaan bercirikan pelbagai kaum di Malaysia.

Menurut Pengetua Nordin Ahmad, 59, Pertandingan Busana Merdeka ini sengaja dibuat dan tema yang dipilih adalah pakaian tradisional kemerdekaan bagi menggambarkan negara Malaysia terdiri pelbagai kaum dan agama.

Guru yang diberi tugas mencorakkan busana kemerdekaan ialah Anita Rahim, 49 bersama alumni sekolah yang mempunyai kepakaran dari segi fesyen dengan bantuan guru praktikal bertungkus-lumus untuk menyiapkan baju yang diperagakan.

“Kami berjaya mendapatkan pakaian terpakai sumbangan pelbagai pihak yang mengambil masa untuk menjahit selama sebulan.

“Setiap perbelanjaan ditanggung sendiri dan dibuat secara jujur dan penuh semangat,” katanya.

Sementara itu guru praktikal yang terlibat, Sarah Ainini Mohd Rhazi, 28, mengakui mereka berkerja setiap masa tanpa mengira penat lelah untuk menyiapkan baju bercirikan kaum.

Kehadiran guru, pelajar dan tetamu jemputan di program Jiwa Madani@ Merdeka Kelab Malaysiaku SMK Belimbing, Tanah Merah.

“Kerjasama dan ketekunan dalam menyiapkan pakaian untuk Pertandingan Busana Merdeka amat perit, tetapi kami gembira dan puas hati apabila melihat pelajar memperagakan pakaian kemerdekaan kaum di atas pentas,” katanya yang mempunyai kelulusan Ijazah Pendidikan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak.

Peserta pertandingan yang berketurunan Siam, Rifeeka Khadka Nafal Irfan, 16, amat menyukai baju yang dipakai hasil ciptaan guru SMK Belimbing.

“Saya rasa terharu dan bersemangat apabila memakai baju merdeka ibunda saya, sekurang-kurangnya mereka yang hadir dapat melihat keunikan dan kecantikan baju merdeka tradisional kaum saya,” katanya.

Program ini dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md.Nor.

Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah Mokhtar Abu Hassan dan Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda