
Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)
BALING, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Suasana sepanjang Jalan Syed Sheh, Pekan Baling hari ini bergetar dengan derapan kaki 1,359 peserta perbarisan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Baling 2024.

Jentera kegunaan petani turut melakukan perarakan lintas hormat.
Mereka mewakili 43 kontinjen yang melakukan lintas hormat di hadapan Pegawai Daerah Baling serta tetamu kehormat lain termasuklah jemputan khas iaitu Ketua Pegawai Daerah dari wilayah Betong, Thailand, Amon Chumchauy.
Acara kemudian disusuli dengan lintas hormat jentera dan kenderaan daripada jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, 40 kenderaan kelab pacuan empat roda, jentera pasukan bomba sukarela Baling, pasukan berkuda, kereta vintaj serta motosikal jenis vespa.
Antara segmen lain yang mewarnai sambutan Bulan Kebangsaan kali ini ialah persembahan koir, pasukan pancaragam sekolah, persembahan kebudayaan Orang Asli Kensiu, tarian tradisi Siam Kala Sa Om, tarian Kolattam kaum India, persembahan tarian singa serta persembahan seni silat Bangau Putih.
“Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Baling yang diadakan menunjukkan bahawa Baling adalah sebuah daerah yang sejahtera dengan kepelbagain kaum dan budaya, yang ditonjolkan sesuai dengan semangat Jiwa Merdeka bertepatan dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan kali ini.

Orang ramai membanjiri kiri dan kanan Jalan Syed Sheh.
“Masyarakat yang menghargai nilai merdeka adalah sebuah masyarakat yang boleh berharmoni dalam apa sahaja keadaan tanpa mengira kaum dan bangsa,” kata Pegawai Daerah Baling Yazlan Sunardie Che Yahya.
Seorang pengunjung program yang ditemui, Ishak Abd. Rahman, 49, menyatakan bahawa sambutan besar-besaran sebegini jarang diadakan.
“Saya dan ahli keluarga yang lain datang seawal pukul 7.30 pagi lagi agar tidak terlepas peluang untuk menyaksikan perarakan dan lintas hormat kontinjen-kontinjen serta jentera,” katanya.
Program Sambutan Bulan Kebangsaan Daerah Baling 2024 diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan kontinjen terbaik agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.
Kontinjen Majlis Daerah Baling (MDB) telah dinobatkan sebagai kontinjen terbaik pada tahun ini.
-ZS-