
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat memaklumkan DUN Rawang bakal mendapat tambahan dua masjid baharu dalam tempoh lima tahun daripada sekarang.
Katanya, kerajaan telah meluluskan pembinaan masjid di Taman Pelangi membabitkan peruntukan RM11 juta pada tahun ini.
Menurutnya, beliau juga sedang mengusahakan permohonan masjid di Saujana Rawang yang menghadapi masalah limpahan jemaah.
“Saya peka dengan keadaan penduduk di Rawang semakin padat jadi keperluan untuk pembinaan masjid juga semakin meningkat.

(Tengah) Wei Kiat bersama pihak kontraktor dan jawatankuasa Surau Ikhlas Saujana Rawang sedang meninjau kerja naik taraf.
“Pada tahun ini, kerajaan meluluskan pembinaan masjid di Taman Pelangi dan kita sedang usahakan permohonan masjid di Saujana Rawang,” katanya selepas meninjau projek naik taraf Surau Al-Ikhlas Saujana Rawang, di sini hari ini.
Peruntukan berjumlah RM50,000 di bawah Iltizam Selangor Penyayang diluluskan untuk naik taraf surau berusia lebih 13 tahun itu.
Ia membabitkan tambahan struktur bagi pembinaan tandas dan dapur surau yang dijangka siap akhir tahun ini.
Wei Kiat, berkata terdapat usaha daripada pihak persendirian mengumpul dana bagi menjayakan pembinaan masjid di Saujana Rawang.
“Permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sudah dilakukan.
“Jika semua berjalan lancar, dalam penggal ini dijangka terdapat dua masjid akan dibina di Rawang,” katanya.
-ZS-