
Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid/Farid Izzemeer (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Syafaat menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 ialah kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk menolong umatnya di Padang Mahsyar kelak.

PU Syed (kanan) ketika menyampaikan kuliah
Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menerusi Kuliah Duha Perdana berkongsi bahawa Rasulullah SAW begitu sayangkan umatnya sehingga baginda memohon doa kepada Allah SWT agar diberikan syafaat kepada kita di akhirat kelak walaupun baginda tidak mengenali siapa kita.
“Baginda pasti akan menolong kita. Baginda akan memberikan syafaatnya namun untuk mendapatkannya, kita hendaklah mengerjakan amal yang membantu kita ke arah itu.
“Pertama, ikut suruhan Nabi Muhammad SAW dan tinggalkan apa yang dilarang. Kedua, tingkatkan kembali amar ma’ruf nahi mungkar iaitu menyuruh orang berbuat baik dan pada masa yang sama mencegah perbuatan mungkar.

Perarakan dan selawat bermula dari perkarangan Perpustakaan Awam Hilir Perak menuju ke MMTI
“Ketiga, banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan yang terakhir, adakan satu ibadat rahsia yang hanya diketahui oleh Allah SWT dan kamu tanpa menghebahkannya kepada orang lain,” katanya ketika menyampaikan kuliah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H di Masjid Melayu Teluk Intan (MMTI), di sini kelmarin.
Tambah PU Syed, manusia kini berada di marhalah akhir zaman yang berhadapan ujian getir yang timbul daripada penggunaan media sosial.
“Jika kita sayangkan anak-anak kita, sayangkan keluarga kita, nasihatkan mereka untuk berbuat baik dan tinggalkan perkara yang dilarang,” tambahnya.
Terdahulu sebelum kuliah berlangsung, program anjuran bersama Kumpulan Muslimah Al-Medina MMTI dan Kumpulan Imarah MMTI itu turut mengadakan Perarakan Silaturahim dan Selawat bersempena Maulidur Rasul 1446H yang disertai hampir 100 orang peserta.
-AA-