
Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd Rahim/Mohd Rizal Matasan (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Biarpun sudah 11 tahun berlalu, tragedi hitam Lahad Datu Sabah yang diterjemahkan semula kepada sebuah filem bertajuk Takluk Lahad Datu masih memberi kesan mendalam kepada rakyat negeri ini.

Robert Penggai (kanan) bersama Samuel Fung Ju Young, Naib Ketua Komuniti MADANI Deasoka.
Setiap babak pertempuran yang dipersembahkan berjaya membangkitkan semangat juang dan kecintaan yang tinggi kepada 180 ahli Komuniti MADANI daerah Kota Kinabalu semasa sesi tayangan filem tersebut di sini pada Sabtu.
Pegawai Penerangan Daerah KK Nur Azean Makbul, berkata Program Jiwa Komuniti MADANI daerah Kota Kinabalu (KK) ini dianjurkan sebagai usaha memupuk semangat patriotisme masyarakat dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
“Program ini juga dilaksanakan agar ahli-ahli Komuniti MADANI ini dapat mendalami makna sebuah kemerdekaan disamping mengukuhkan lagi semangat kebersamaan serta perpaduan antara mereka walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya selepas program berkenaan.

Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu ketika menyampaikan taklimat.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Deasoka Robert Penggai, 52, percaya penganjuran program tayangan ini juga sesuai dan masih relevan kepada masyarakat pelbagai peringkat umur.
“Kita dapat saksikan sendiri keterujaan melihat aksi-aksi filem yang ditayangkan baik kanak-kanak mahupun warga emas dan saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu Adzha Laiela Lieeyana Ahmad, 22, berkata beliau yakin mesej yang disampaikan filem tersebut mudah difahami dan diterima baik oleh generasi muda sepertinya.
“Justeru itu, saya menyeru kepada generasi muda untuk sama-sama menghargai segala penat lelah dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam mempertahankan tanah air kita yang tercinta, filem ini akan membangkitkan rasa kecintaan anak muda kepada negara,” katanya.
Untuk makluman, Program Jiwa Komuniti MADANI daerah Kota Kinabalu yang dianjurkan di panggung wayang itu melibatkan Komuniti MADANI kawasan Luyang, Likas, Jesselton, Deasoka dan DahYeh Villa.
-ZS-