
Laporan/foto: Faizzad Kamal/Shahrizan Ismail (Batang Padang)
TAPAH, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kassim, Tapah Road menjayakan Hari Terbuka dan Tuaian Hasil Tanaman Golden Melon bagi memperkenalkan tanaman tersebut kepada orang ramai kerana tanaman ini agak sukar ditemui selain harganya yang agak mahal.

Pengerusi JPKK Kampung Kassim Mohamad Zaifarul Zainal Abidin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pegawai Daerah Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori.
Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori, berkata projek ini telah mendapat kelulusan Pejabat Pembangunan Negeri Perak menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) pada 3 Julai lalu dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
“Projek ini membuka ruang kepada masyarakat kampung untuk menjana pendapatan, di samping menyokong agenda nombor satu kerajaan negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Keterjaminan Makanan,” katanya ketika merasmikan majlis di Ma’had Tahfiz Al Ahmad, di sini semalam.
Beliau turut menjelaskan terdapat 54 permohonan projek di daerah ini dengan 27 daripadanya telah diluluskan.
Sementara itu, Pengetua Tahfiz Al-Ahmad Ustaz Firdaus Mohd Mazlan Khusairi selaku Ketua Teknikal Projek, berkata ladang ini telah menghasilkan lima kali tuaian yang membuktikan bahawa projek golden melon ini mampu dikembangkan pada masa depan.

Pengunjung berpeluang memetik sendiri buah di ladang.
“Kami ingin mengajak masyarakat untuk datang dan mengutip sendiri golden melon di samping merasai kemanisan serta keunikan rasa buah ini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, JPKK Kampung Kassim turut menyerahkan hasil laporan Projek SejaTi MADANI kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Program Hari Terbuka dan Tuaian Hasil Tanaman Golden Melon ini berlangsung selama tiga hari bermula 21 September hingga semalam.
-ZS-