
Laporan/foto: Aneta Ahmad/Mahadi Mustafa
DUNGUN, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Kaedah penangkapan ikan yang dilarang seperti penggunaan arus atau renjatan elektrik, bom ikan, menuba ikan atau menggunakan racun dan kaedah menembak ikan boleh merosakkan populasi dan ekosistem hidupan air tawar.
Pengarah Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat mengingatkan masyarakat agar tidak menggunakan kaedah penangkapan ikan yang dilarang bagi memastikan hidupan air tawar seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya terus terpelihara dan tidak diancam kepupusan.

Antara nelayan darat yang menerima bantuan peralatan berupa dua unit pukat tangsi.
“Kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia giat melepaskan benih ikan ke perairan umum bagi memulihara hidupan air tawar, meningkatkan ekonomi nelayan darat sekaligus menjadi pemangkin kepada aktiviti perikanan rekreasi dan ekopelancongan.
“Sebanyak 28,000 ekor benih yang terdiri daripada spesies ikan lampam sungai (10,000), baung (3,000) dan udang galah (15,000) berjaya dilepaskan,” katanya ketika ditemui di Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat Daerah Dungun di Sungai Paka, Kampung Durian Mentangau, di sini kelmarin.
Seramai 46 orang nelayan darat di daerah ini telah menerima bantuan peralatan nelayan darat berupa dua unit pukat tangsi. Sembilan orang daripadanya menjalankan aktiviti menangkap ikan di Sungai Paka manakala selebihnya di Sungai Dungun dan anak-anak sungai berhampiran.

Tan Ziri berkata bantuan yang diberikan sedikit sebanyak meringankan beban memandangkan kos peralatan di pasaran agak tinggi.
Penerima bantuan dari Kampung Jongok Batu Tan Ziri Jusoh, 61, berkata bantuan yang diberikan kepada nelayan darat sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan dan dapat mengurangkan beban memandangkan kos peralatan di pasaran agak tinggi.
“Saya berharap orang ramai dapat menjaga kebersihan sungai agar anak ikan dan spesis ikan yang ada dapat membiak dengan baik,” katanya ketika ditemu bual Malaysia Aktif.
Turut hadir Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim.
-ZS-