
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari
PASIR PUTEH, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Peluang menyertai perarakan kemerdekaan sempena Bulan Kebangsaan menjadi pengalaman istimewa buat warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Raja, hari ini dengan disertai oleh 200 orang pelajar serta guru yang turut memperagakan pelbagai jenis pakaian kemerdekaan.

Semangat kemerdekaan guru-guru yang tidak pernah luput.
Perarakan mengelilingi kampung itu mengambil masa lebih kurang satu jam itu menyaksikan guru dan pelajar berganding bahu dalam merealisasikan semangat patriotik, cinta akan negara.
Guru Penolong Kanan Pentadbiran SK Kampong Raja Syaiful Azuan Mohamed Noor, berkata sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah itu merupakan aktiviti tahunan mereka namun kali ini ia menampilkan kelainan apabila dianjurkan perarakan mengelilingi kampung dan lebih manis kerana turut disertai ibu bapa para pelajar.
“Saya sangat berbangga dan gembira apabila perarakan ini berjalan lancar seperti dirancang dan dapat melihat sendiri guru, pelajar serta ibu bapa yang sangat bermotivasi dan bersatu hati untuk tujuan sama memastikan penghayatan kemerdekaan negara bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ pada tahun ini,” katanya.

Perarakan pelajar dengan basikal berhias.
Program ini dianjurkan dengan matlamat untuk menyemaikan semangat patriotik, menanamkan dalam diri setiap pelajar agar cintakan negara dan sekali gus menghayati nilai-nilai yang ada dalam Rukun Negara kerana apabila mereka besar kelak, walau di mana jua mereka berada jiwa dan akalnya sentiasa sayangkan negara.
-ZS-