
Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/IPD Jempol

Ketua Polis Daerah Jempol sedang beramah mesra bersama komuniti setempat sambil mengedarkan bahan risalah pencegahan jenayah
JEMPOL, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Warga Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol yang diketuai oleh YDH Supt Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Jempol mengadakan Hari Bertemu Pelanggan dan Walkabout yang bertempat di Tapak Pasar Malam Pusat Bandar Felda Palong 4, 5, 6 Jempol, Negeri Sembilan.
Program ini dijalankan bertujuan mendekati masyarakat secara bersemuka dan mengimplementasi slogan Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol telah bertindak proaktif dengan turun padang bertemu masyarakat serta menyantuni masyarakat untuk mendapatkan permasalahan berkaitan kes-kes jenayah yang berlaku dan menerangkan pelan pencegahan jenayah,” kata Hoo Chang Hook, Ketua Polis Daerah Jempol.

Edaran risalah pencegahan jenayah kepada komuniti setempat
“Menerusi program ini juga, ia dapat memberi ruang kepada masyarakat bertemu dengan barisan kepimpinan tertinggi IPD Jempol untuk berkongsi dan memberikan pencerahan permasalahan yang diutarakan,” ujarnya lagi.
Program ini juga mempromosikan kewujudan dan fungsi ‘Pusat Respons Scam Kebangsaan’ (NSRC) kepada masyarakat serta memberi penerangan kaedah pencegahan jenayah komersil dan membuat hebahan portal CCID Semak Mule.
Menerusi program ini juga pihak IPD Jempol membuat agihan risalah-risalah pencegahan jenayah kepada masyarakat secara bersemuka dan menerangkan fungsi dan peranan Amanita.
Program disambut baik oleh masyarakat dan pengunjung serta berjaya mewujudkan rangkaian jaringan kerjasama lebih erat di kalangan komuniti bersama PDRM.
-AA-