
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 4 Sep (Malaysiaaktif) – Enam buah hospital di negeri ini menerima lapan unit ambulans baharu yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, di sini hari ini.

Ambulans ini dilengkapi dengan peralatan perubatan agar rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera.
Wan Rosdy dalam satu kenyataan media memaklumkan lapan unit ambulans Type A diserahkan kepada Pengarah-pengarah Hospital di enam daerah iaitu dua unit kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dua unit Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan masing-masing satu unit kepada Hospital Pekan, Hospital Bentong, Hospital Lipis dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands.
“Kenderaan ambulans ini dilengkapi dengan peralatan perubatan agar rawatan kecemasan dengan seberapa segera, serta bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat negeri Pahang,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang beliau sangat menghargai usaha Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

Lapan unit ambulans baharu disampaikan kepada enam hospital yang terlibat.
“Saya berharap agar lebih banyak lagi inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan rakyat negeri Pahang,” ujarnya.
-ZS-