
Laporan/foto: Khairul Othman (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 200 orang pengunjung Pasar Tani di Tapak Pasar Tani Kuala Pilah beratur sejak awal pagi bagi mendapatkan barangan jualan set Kombo Madani bersempena Program Sambutan Semarak Kemerdekaan ke-67 Peringkat Pasar Tani Kuala Pilah, di sini semalam.

Orang ramai beratur seawal pagi bagi mendapatkan set Kombo Madani.
Jualan set Kombo Madani ini dilengkapi keperluan asas seperti seekor ayam segar, minyak masak paket dan sayur-sayuran dengan harga RM6.70 sempena ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun.
Menurut suri rumah Halimah Othman, 58, beliau tahu tentang jualan ini daripada rantaian kumpulan Whatsapp Komuniti MADANI.
“Selain itu harga beras putih tempatan juga lebih murah di sini berbanding tempat lain iaitu RM26 untuk 10 kilogram,” ujarnya.

ADUN Pilah turut mempromosikan salah satu gerai peniaga di Pasar Tani Kuala Pilah.
Program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kuala Pilah ini juga turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Adnan Abu Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pilah Noor Zunita Begum Mohd Ibrahim.
-ZS-