
Laporan/foto: Sufian Rashid
GEORGE TOWN, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Seramai 28 pelajar dan tujuh guru pengiring dari tujuh buah sekolah menengah di Daerah Seberang Perai Selatan menyertai Program Kembara Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan Daerah Seberang Perai Selatan, semalam.
Program lawatan ini merangkumi destinasi bersejarah di Bukit Bendera, Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) serta Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).

Sesi lawatan ke Perpustakaan Digital Pulau Pinang.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda serta mendedahkan mereka kepada inovasi teknologi dan pendidikan Islam kontemporari.
Menurut seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, Anis Fiazanah, 16, melawat Bukit Bendera dan melihat sendiri keindahan alam semula jadi memberi kesedaran kepadanya tentang kepentingan memelihara warisan negara.
“Di Perpustakaan Digital pula, saya teruja melihat bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan untuk pendidikan,” katanya.
Bagi guru pengiring, Khor Wei Ling, 29, program ini mampu mencetuskan minat pelajar untuk lebih menghargai sejarah dan teknologi.

Pelajar-pelajar di Bukit Bendera.
“Program ini bukan sahaja membawa pelajar mengenali sejarah tanah air, tetapi juga memperkenalkan mereka kepada teknologi moden dan pentingnya ilmu dalam pembinaan sesebuah negara,” katanya.
Sekolah yang terlibat adalah daripada SMK Jawi, SMK Tasek, SMK Mutiara Impian, SMK Simpang Ampat, SMK Saujana Indah, SMK Methodist dan SMK Tun Syed Sheh Barakbah.
-ZS-