
Laporan/foto: Mohd Fauzan Mahari (Pasir Puteh)
PASIR PUTEH, 6 Sep (Malaysiaaktif) – Apabila tiba Bulan Kebangsaan, sudah menjadi kewajipan bagi warga Taman Darul Salam untuk mengadakan Program Sambutan Kemerdekaan sebagai usaha menzahirkan rasa cinta pada negara, sekali gus menyemai semangat kemerdekaan yang dikecapi oleh Malaysia yang kini rakyatnya hidup aman harmoni.

Ketua Komuniti MADANI Taman Darul Salam.
Melalui platform Komunti MADANI Taman Darul Salam yang ditubuhkan, sambutan kemerdekaan tahun ini menjadi semakin meriah dan berjaya menyatukan warga taman tanpa mengira agama, kaum dan budaya serta menonjolkan semangat kebersamaan.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Taman Darul Salam Muslizani Zakaria, kejayaan menganjurkan Program Sambutan Kemerdekaan yang ke-67 ini adalah satu perkara yang baik dalam memacu keamanan negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Semangat kemerdekaan ini perlu kita pertahankan kerana kita tidak mahu lagi dijajah seperti dahulu.

Perarakan Kemerdekaan mengililingi Taman Darul Salam.
“Kita mesti sama-sama menghargai kemerdekaan ini dengan mendidik dan menyemai anak bangsa menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan cinta akan negara kerana kebebasan yang kita kecapi ini tidak datang dengan mudah tetapi melalui perjuangan, pengorbanan darah dan air mata,” katanya.
Tambah Muslizani, aktiviti perarakan kemerdekaan dengan berjalan mengelilingi taman, sukaneka, serta pertandingan baju kemerdekaan merupakan aktiviti tahunan yang dilakukan setiap kali program ini dilaksanakan tetapi kelainan pada tahun ini apabila kemeriahan program ini disulami dengan acara selawat Nabi SAW sempena bulan Rabiul Awal iaitu bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.
“Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh warga Taman Darul Salam bagi menunjukkan rasa syukur mengiringi kemeriahan sambutan hari kemerdekaan yang ke-67,” katanya.
-ZS-