
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)
KUALA KANGSAR, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Komuniti MADANI Parlimen Padang Rengas di bawah tadbir urus Pejabat Penerangan Daerah Kuala Kangsar menggalas tanggungjawab memperkasa usaha penyaluran maklumat kepada rakyat dengan kerjasama semua pihak hingga ke akar umbi.

Pameran dan perkhidmatan daripada agensi terlibat.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Tuan Saiful Bahari Tuan Ismail, Komuniti MADANI merupakan satu badan sukarela yang diwujudkan di bawah seliaan Jabatan Penerangan (JaPen) dengan penglibatan pelbagai kaum dalam usaha menyatupadukan rakyat.
“Kita bersama Komuniti MADANI Parlimen Padang Rengas akan melebarkan sayap, menyantuni semua kelompok masyarakat di Padang Rengas secara lebih holistik bagi memastikan inisiatif kerajaan MADANI dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan.
“Suka juga untuk saya ingatkan agar Komuniti MADANI ini sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada setiap pelaksanaan program JaPen dan aktiviti yang boleh menggerakkan fungsi serta peranan komuniti ini di Padang Rengas,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Program Semarak Patriotisme dan Karnival Komuniti MADANI Peringkat Parlimen Padang Rengas, di Arena Square Masjid Al-Hadhari, di sini semalam.

Rosmah hadir berpakaian mengikut tema Hari Kebangsaan sebagai tanda sokongan terhadap program ini.
Sementara itu, pengunjung, Rosmah Hassan Basri, 60, gembira program ini menggabungkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung dengan menyediakan perkhidmatan secara terus dan tepat kepada orang ramai.
“Pelbagai pengisian memeriahkan program ini termasuk pertandingan dan acara yang mampu mengeratkan kerjasama dan ukhuwah sesama komuniti di sini,” katanya.
-ZS-