Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Kontinjen Labuan Masters Bawa Pulang Lapan Pingat

By 25 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/Persatuan Atlet Veteran Labuan

LABUAN, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Kontinjen Labuan Masters berjaya mengutip lapan pingat di Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Sabah (SAMOC) ke-12 yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Keningau, Sabah pada 21 hingga 22 September lalu.

Pengerusi Persatuan Atlet Veteran Labuan Adnan Talipudin, berkata Kontinjen Labuan Masters meraih dua pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa.

“Dua pingat emas itu diperolehi menerusi Marta Basa Lokman bagi kategori umur 50-54 dalam acara 100 meter dan lompat kijang, selain mencuri satu perak dan satu gangsa menerusi lompat jauh dan lempar cakera.

Adnan Talipudin.

“Tiga pingat perak disumbangkan Rukiah Talip (Kategori umur 55-59) menerusi acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter selain Andrew Clement (Kategori umur 55-59) turut menyumbang satu gangsa menerusi acara 5,000 meter.

“Gangsa turut disumbangkan kuartet 4 X 400 meter (Kategori umur 50 ke atas) yang dibarisi Marta Lokman, Martinah Lokman, Santy Yusof dan Rukiah Talip,” katanya semasa ditemui media semalam.

Jelasnya, Kontinjen Labuan Masters diwakili tujuh atlet iaitu Marta Lokman, Martinah Lokman, Santy Yusof, Rukiah Talip, Andrew Clement, Nazri Wasimin dan Ardzi Silimi dan berjaya menduduki tempat ke 19 daripada 30 pasukan yang mengambil bahagian.

Rukiah Talip (dua dari kiri) menyumbangkan tiga pingat perak.

“Syabas dan tahniah atas kejayaan atlet yang dihantar pada kali ini walaupun jumlah bilangan atlet yang sedikit, namun atlet yang mewakili pasukan Labuan Masters pada tahun ini cukup bersemangat serta berdisiplin tinggi.

“Ini merupakan penyertaan kedua Labuan Masters dalam sukan tahunan itu sejak persatuan ini ditubuhkan pada 1 Februari 2023 dan semoga momentum kecemerlangan ini kekal semasa Kejohanan SAMOC 2025,” katanya.

Adnan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pengurusan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) yang banyak membantu dari segi penggunaan trek latihan untuk atlet-atlet Labuan Masters.

-ZS-

Tinggalkan komen anda