
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Sep (Malaysiaaktif) – Dilema isu pembuangan sisa fabrik dan pembaziran dalam dunia jahitan dapat diatasi dengan mengoptimumkan kreativiti mengolah fabrik terpakai menjadi kraf tangan yang unik dan menyumbang sebagai pendapatan sampingan.
Ilham amalan hijau atau gerakan Go-Green ini dicetuskan sendiri oleh Irene Mositol pemilik kepada syarikat DumoWongi yang telah menghasilkan pelbagai produk kraf tangan mesra alam tersebut bersama komuniti wanita tempatan.

Antara kraftangan daripada kain cadar keluaran DumoWongi.
Beliau, berkata biarpun belum mencapai usia setahun, inisiatif berkenaan akan digiatkan lagi agar mampu mencapai objektif membantu dalam mengurangkan pembuangan fabrik disamping mencemai budaya melestarikan alam sekitar di kalangan masyarakat.
“Dengan ini kami dapat mencipta produk kraf tangan yang menarik dan berguna menjadikan sisa fabrik yang sebelum ini dibuang kepada satu produk yang unik sekaligus memberi nilai tambah dalam masa menyokong kelestarian alam.
“Kami menggabungkan kaedah eco-print dengan menggunakan fabrik terpakai di mana kami tidak hanya memanggilnya sebagai produk cadar, kerana setiap produk juga dihasilkan menggunakan fabrik terpakai berwarna putih dan bahan terpakai yang lain,” katanya ketika ditemui semasa Acara Riuh Bah! di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.

Antara pengunjung yang singgah ke gerai DumoWongi.
Tambah Irene, produk kraf tangan daripada fabrik terpakai itu diperkenalkan pada hujung April 2024, dan kini telah beroperasi selama lima bulan dengan mensasarkan kraf tangan aksesori yang digunakan dalam rutin seharian pengguna.
“Sebenarnya, produk kraf tangan ini masih dalam fasa permulaan dan perlu banyak lagi usaha untuk mengembangkannya, namun kita telah berjaya mengasilkan aksesori yang boleh digunakan setiap hari oleh pengguna antaranya knot beg, origami beg, coin purse, name card holder dan table runner,” jelasnya.
Untuk makluman Acara Riuh Bah! dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi di seluruh negara melalui Kumpulan Mycreative Venture sempena Hari Malaysia dan telah berlangsung dari 14 hingga 15 September di SICC, Kota Kinabalu, Sabah.
-ZS-