
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
TELUK INTAN, 27 Sep (Malaysiaaktif) – Peranan agensi dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dapat diibaratkan seperti irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan dalam memastikan inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat khususnya golongan sasar.
Menurut Pegawai Perpaduan Daerah Hilir Perak Muhammad Syahmi Sazali, terdapat banyak inisiatif yang hendak disampaikan oleh kerajaan melalui program yang dianjurkan.

Abdullah Zubair (kiri) mengalukan kehadiran agensi untuk bersama-sama KRT.
“Antaranya program gotong-royong dilaksanakan demi memastikan kejiranan bersih dan terhindar daripada penyakit berjangkit, manakala pemeriksaan kesihatan dilaksanakan demi memastikan rakyat mengetahui status kesihatan terkini agar boleh mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
“Semua ini dilaksanakan sebagai platform untuk kerajaan mendekati rakyat agar inisiatif yang ingin disampaikan diterima oleh golongan sasar,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Tambah Muhammad Syahmi, kewujudan KRT sebagai sebuah badan sukarelawan di bawah Kementerian Perpaduan Negara tidak membawa sebarang simbol kepartian dan memang wujud dalam komuniti itu sendiri bagi tujuan merapatkan hubungan antara kaum.

Kanak-kanak dididik dari peringkat awal tentang kepentingan menjaga kebersihan.
“Sehubungan itu, KRT dan agensi perlu seiring senada untuk berkerjasama sebagaimana frasa Iban ‘Segulai Sejalai’ dalam mematlamatkan maksud yang sama iaitu perpaduan daripada akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kuarters Hospital Teluk Intan Abdullah Zubair Sujan ketika ditemui sempena Program Jom Gotong-Royong Cegah Denggi di Kuarters Kediaman Hospital Teluk Intan kelmarin, berkata penglibatan agensi dalam sebarang program yang dianjurkan oleh KRT sangat dialu-alukan.
“Program ini misalnya merupakan koloborasi antara KRT dan sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) yang merupakan badan sukarelawan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk membersihkan kawasan kediaman penghuni kuarters,” ujarnya yang juga kakitangan kerajaan.
-ZS-