Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kukuh Perpaduan Kaum dengan Semangat Menyambut Hari Kebangsaan ke-67

By 11 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 11 Sep (Malaysiaaktif) – Semangat perpaduan kaum yang ditonjolkan sewaktu sambutan Hari Kebangsaan amat bermakna bertepatan tema pada tahun ini ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’.

Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Pasir, Tanah Merah Lokman Mohamed, berkata rakyat di negara ini amat bertuah, tidak kira bangsa dan agama dapat merayakan sambutan Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan harmoni.

Sesi fotografi selepas gimik perasmian Program Penutup Bulan Kebangsaan Peringkat SMK Alor Pasir.

“Sambutan di peringkat sekolah, setiap guru dan pelajar disemai dan dididik agar cintakan dan kasih kepada negara.

“Anak-anak ini perlu diingatkan tentang sejarah pejuang terdahulu dalam menempuh pelbagai onak dan duri bagi mencapai kemerdekaan,” katanya di Program Jiwa Madani@Kelab Malaysiaku di Dewan Penghulu Mahmod SMK Alor Pasir, semalam.

Guru penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Alor Pasir Norhayati Ibrahim, menyambut baik program pada pagi ini dan memuji program ini dapat mendidik pelajar erti kemerdekaan dan jerih perih pejuang dalam usaha membebaskan negara kita daripada penjajah.

“Generasi sekarang tidak tahu betapa susah payah orang dahulu berjuang, bergadai nyawa bagi mencapai kemerdekaan negara.

“Hari ini kita hidup bahagia hasil usaha tokoh kemerdekaan dahulu,” katanya.

Phatcharaa (depan sekali kiri) bersama rakan-rakan mengibarkan Jalur Gemilang.

Sementara itu pelajar keturunan Siam, Phatcharaa Wee Pan, 13, berkata masyarakat Siam yang tinggal di Kampung Berchang gembira apabila dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana aman dan tenteram.

“Saya bersama kawan-kawan masyarakat Siam amat gembira, seronok dan terhibur apabila dapat menyambut hari bersejarah setiap tahun selain mengenali budaya hidup kaum masing-masing,” katanya.

Program dirasmikan oleh Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Nur Amirah Abd. Rani.

Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah Amran Adnan, Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin, guru-guru, pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda