
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 1 Sep (Malaysiaaktif) — Sejak awal pagi, orang ramai telah mula datang ke Stadium Educity, Iskandar Puteri bagi menyaksikan perbarisan sempena Hari Kebangsaan ke-67, semalam.
Tinjauan wartawan Malaysiaaktif mendapati bukan sahaja Bangsa Johor, tetapi warga Singapura juga turut hadir bagi menyaksikan acara perbarisan Hari Kebangsaan yang diadakan pada 31 Ogos setiap tahun secara lebih dekat.

Nurul Hidayah (tiga dari kanan) bersama dengan anak-anaknya memakai baju sedondon bagi menyaksikan perbarisan Hari Kebangsaan di Johor Bahru.
Salah seorang pengunjung, Nurul Hidayah Din, 37, dari Permas Jaya, berkata beliau telah sampai ke stadium seawal pukul 6.30 pagi dan berasa sangat teruja apabila buat pertama kalinya menyaksikan perbarisan di Johor Bahru.
“Sebelum ini saya sekeluarga menyaksikan perbarisan di Dataran Ipoh, Perak kerana suami berkhidmat sebagai tentera dan pada tahun ini kami sekeluarga telah berpindah ke Johor Bahru pada awal bulan Mac lalu dan menyaksikannya di Johor Bahru,” katanya.
Perbarisan melibatkan 79 kontinjen dengan tema ‘Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka’.

Aznan Tamin, wakil rasmi Menteri Besar Johor bersama tetamu kehormat menyaksikan lintas hormat kontinjen perbarisan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Daerah Johor Bahru.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 Peringkat Daerah Johor Bahru telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin, selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor.
Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang merangkap Pemangku Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Asman Shah Abdul Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Datuk Noorazam Osman.
-ZS-