Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Lebih 700 Terima Suntikan Vaksin HPV di Hilir Perak

By 13 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/NCSM

TELUK INTAN, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Lebih 700 peserta pelbagai kaum dan peringkat umur menerima suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) sempena Program Jelajah HPV Negeri Perak Darul Ridzuan: Menoktahkan Kanser Serviks bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim di Dewan Bandaran Teluk Intan, di sini kelmarin.

Tuanku Zara Salim berkenan bergambar kenangan bersama peserta dari SMK Seri Perak, Teluk Intan.

Pengurus Program Kanser (Dewasa) Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Mohd Fadzrel Abu Bakar, berkata sambutan yang diterima di Hilir Perak amat baik dan lebih 700 peserta telah mendapat suntikan vaksin HPV secara percuma ketika program berlangsung.

“Kami di NCSM amat berharap agar lebih ramai orang awam cakna tentang kepentingan mendapatkan perlindungan awal untuk mencegah kanser.

“Apabila mereka sedar kepentingan perlindungan awal, kami harap lebih ramai akan tampil untuk mendapatkan suntikan HPV agar usaha menoktahkan kanser yang berkaitan dengan jangkitan virus HPV ini dapat dicapai,” ujarnya seusai program.

Pelajar SMK Kampung Bahagia ketika diberi penerangan oleh petugas NCSM.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Bahagia Zalia Raimi Mohd Rahimi, 16, dia dan kawan-kawan gembira apabila berpeluang mendapat suntikan HPV menerusi program jelajah tersebut.

“Selain mendapat suntikan secara percuma, kami turut diberi penerangan dan maklumat oleh petugas NCSM berkenaan kanser serviks dan penyakit yang boleh dibawa oleh jangkitan virus HPV,” katanya.

Program jelajah yang melibatkan kesemua 12 daerah di negeri Perak tersebut telah selesai kelmarin.

-ZS-

Tinggalkan komen anda