
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SUNGAI BULOH, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemukan sebanyak lapan tong disyaki bahan kimia di parit kawasan perindustrian Jalan Desa Aman di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Awam Selangor Jamaliah Jamaluddin, berkata tong tidak berlabel itu dikesan berada di lokasi terbabit sekitar pukul 2.00 petang pada Selasa.
Menurutnya, LUAS dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengesan bau kuat seakan bahan kimia di lokasi pembuangan tersebut.
“Pihak MPS telah menutup kawasan itu untuk tindakan siasatan dan pencegahan lanjut.

Pihak LUAS sedang melakukan pemeriksaan dan mengambil sampel untuk dianalisis.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel tong berkenaan dengan menggunakan kelengkapan keselamatan pengendalian bahan terjadual susulan kandungan yang disyaki bahan kimia,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Katanya, pihak LUAS telah melakukan pensampelan untuk analisis lanjut dan satu kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999 telah dibuka untuk tindakan penguatkuasaan.
Sementara itu ia turut disusuli kerja-kerja pembersihan di lokasi dilaksanakan MPS.
Jamaliah berkata, tindakan pencegahan segera itu dapat mengelak impak lebih besar kepada sumber air khususnya sungai.
Ujarnya, kerajaan negeri dan LUAS menghargai penyampaian maklumat daripada masyarakat berkaitan aktiviti-aktiviti mencurigakan di kawasan sumber air negeri
“Ini membuktikan masyarakat semakin sedar akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar khususnya sungai yang perlu dijaga meskipun aliran sungai berkenaan tidak melibatkan muka sauk LRA (Loji Rawatan Air) dan bekalan air.
“Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak tidak menjadikan kawasan sumber air terutamanya sungai sebagai tempat pembuangan sampah dan sisa,” katanya.
Beliau menyeru orang awam membuat laporan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air.
-ZS-