
Laporan/foto: Noor Shameiza Abd Razak (Kota Setar)
KUALA KEDAH, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Seperti setiap tahun, jeritan penuh semangat, Merdeka! Merdeka!Merdeka! pastinya dapat dirasai dalam setiap jiwa rakyat Malaysia.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’, sambutan Hari Kebangsaan 2024 kali ini diadakan oleh penduduk Taman Kota Nelayan bersama Komuniti MADANI Kubang Rotan Zon C.

Pengerusi MADACorp menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Pertandingan Poster Kemerdekaan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh komuniti setempat seawal pukul 6.00 pagi bagi meraikan hari bersejarah saban tahun ini.
Pengerusi MADACorp Asmirul Anuar Aris dalam ucapan beliau, berkata sebagai rakyat Malaysia, beliau berasa amat bertuah apabila dapat melihat semangat yang ditunjukkan melalui kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dalam program sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

Sebahagian golongan wanita yang menyertai Pertandingan Dekorasi Kek Kemerdekaan.
“Semangat yang dipamerkan oleh semua penduduk dilihat seiring sejalan demi memastikan negara Malaysia terus aman harmoni, makmur dan sejahtera,” katanya.
Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Kubang Rotan Zon C Ustaz Hazameer, 31, ketika ditemui, berkata program ini diadakan setiap tahun bagi menggarap semangat patriotik dan cintakan tanahair tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik.
Dianggarkan seramai 500 orang penduduk tempatan yang bersama-sama hadir memeriahkan program yang berlangsung pada kali ini.
-ZS-