Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Nurzammiezatul Syafiqqah Cipta Sejarah Menang Pingat Emas di Para Sukma Sarawak 2024

By 26 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Petrus Ngalih Tinggi (Sarawak)

KUCHING, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Atlet badminton muda berusia 23 tahun Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi, mencipta sejarah dengan merangkul pingat emas pertama bagi Sarawak dalam Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang diadakan di Dewan Persatuan Badminton Negeri Sarawak, di sini semalam.

Kemenangan cemerlang tersebut disahkan selepas Nurzammiezatul menewaskan pemain dari Pahang iaitu Fazira Nazwa M. Salleh dengan kiraan mata 21-8 dan 21-6, memenangi kesemua perlawanan dalam kategori kelas PW SH6.

Nurzammiezatul bersama jurulatihnya.

Prestasi beliau dalam kategori kelas PW SH6 Para SUKMA kali ini telah mencuri perhatian ramai, terutama apabila beliau berjaya mengatasi pesaing lebih berpengalaman untuk membawa pulang pingat emas pertama.

Lebih membanggakan, Nurzammiezatul hanya mula menceburi sukan badminton pada November tahun lalu, menjadikannya bintang yang pantas bersinar di arena sukan negeri.

“Saya amat terhutang budi kepada keluarga, jurulatih, serta semua pihak yang telah menyokong saya dari awal.

“Kemenangan ini bukan sahaja milik saya tetapi milik semua yang percaya dengan kemampuan saya dan saya berjanji akan terus berjuang sehingga nama Sarawak terkenal di peringkat dunia,” ujarnya yang berasal dari Kampung Tengah Tebelu, Sebuyau.

Walaupun masih baru dalam arena badminton, minatnya terhadap sukan ini telah mendorong beliau untuk menjalani latihan keras dan mencapai kejayaan yang luar biasa.

Nurzammiezatul Syafiqqah (hadapan tiga dari kanan) bersama pegawai-pegawai teknikal badminton.

Keazaman Nurzammiezatul untuk meneruskan perjuangan dalam sukan badminton sangat jelas dan matlamatnya adalah untuk bukan sahaja menyumbang kejayaan di peringkat negeri tetapi juga mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Kisah kejayaan Nurzammiezatul harus menjadi inspirasi kepada anak muda Sarawak, khususnya yang berimpian dalam sukan dan beliau membuktikan bahawa dengan semangat dan usaha gigih, impian boleh dicapai walaupun bermula dari bawah.

Para SUKMA 2024 di Sarawak kali ini bukan sahaja menampilkan bakat-bakat baharu seperti Nurzammiezatul, tetapi juga menjadi platform penting dalam memperkasakan sukan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.

“Saya berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk berani mengejar impian,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda