
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Program Sukaneka Kemerdekaan 2024 dan Pertandingan Busana Merdeka anjuran Taska Permata Kangkong dengan kerjasama KRT Kangkong serta Koperasi Kariah Masjid Mahmudi telah berjaya menarik penyertaan 27 orang kanak-kanak asuhan Taska Permata.
Program yang diadakan di Dataran Usahawan Koperasi Masjid Mahmudi, di sini kelmarin menerima sambutan kemeriahan dan keceriaan dengan pertandingan Busana Merdeka disertai satu pasangan kembar seiras iaitu Muhammad Hariz dan Muhammad Harraz yang berusia tiga tahun.

Kanak-kanak Taska Permata yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Menurut bapa pasangan kembar ini, Mohd Hafizul Zulkifli, 31, kedua-dua anaknya amat bersemangat dan tidak sabar untuk memperagakan pakaian bercirikan Jalur Gemilang iaitu bendera kebanggaan rakyat Malaysia.
“Saya sebagai bapa sangat menyokong dan memberi galakkan kepada mereka sebagai usaha untuk menyemai dan menanam perasaan cintakan negara di usia muda,” katanya ketika ditemui.
Isteri beliau, Nik Fatihah Mat Nawi, 33, berkongsi perasaan, berkata beliau berbangga apabila melihat anak-anaknya berpakaian baju merdeka.

Mohd Kasyful Asri Md.Salim menyampaikan pemenang tempat pertama Pertandingan Busana Merdeka kepada Nur Nayla Salmizie, 4, sambil diperhatikan Hj. Zainuddin Othman.
“Melalui cara ini, mereka bersemangat patriotik selain menjiwai kemerdekaan negara,” katanya.
Sementara itu Penolong Pegawai Perpaduan dan lntegrasi Nasional Daerah Pasir Mas Mohd Kasyful Asri Md. Salim, 40, berkata pertandingan yang diadakan adalah untuk memberi kefahaman dan cintakan negara di peringkat taska.
“Ketika usia kanak-kanak mereka wajar dididik dan diasuh agar mereka faham dan tahu erti kemerdekaan”, katanya di program tersebut.
“Pemarkahan adalah berdasarkan kepada kreativiti, gaya dan kesesuaian tema sambutan hari kebanggaan,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kangkong Hj. Zainuddin Othman dan imam Masjid Mahmudi Haji Zulkifli Yahya.
-ZS-