
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
KUCHING, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Pekerja pembersihan merupakan antara tulang belakang yang paling berjasa dalam menyumbangkan tulang empat kerat mereka untuk memastikan kebersihan tetap terjaga sepanjang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 di Sarawak.

Yati Bujang (Pekerja Pembersihan).
Temasya Para SUKMA 2024 telah pun membuka tirai semalam yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Stadium Perpaduan Petra Jaya, di sini semalam.
Pekerja pembersihan Yati Bujang, 49, berkata mereka sudah pun memulakan kerja-kerja pembersihan sejak tiga hari lalu lagi.
“Dari segi masa dan tenaga kami sudah siap untuk membantu memastikan kebersihan dalam dan luar stadium tetap terjaga sepanjang sukan para sukma ini berlangsung nanti,” ujarnya.
Selain itu, Endi Sediy, 55, turut mengatakan bahawa mereka telah diberikan amanah untuk menunaikan tanggungjawab ini dengan baik untuk keselesaan atlet dan para pengunjung yang menjadi keutamaan mereka.

Endi Haji Sediy (Pekerja Pembersihan).
“Walaupun kami jarang dipandang oleh sebahagian kecil orang awam, kami tetap melakukan kerja yang halal ini kerana kebersihan sangat penting bagi kami lebih-lebih lagi dalam sukan yang melibatkan atlet dan pengunjung dari luar negeri Sarawak,” katanya.
Tanpa jasa wira tak didendang ini, mana mungkin kita dapat menikmati suasana yang bersih dan selesa dalam apa jua program dianjurkan.
-ZS-