
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
RUNGKUP, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Penantian penduduk Kampung Sungai Pergam untuk menikmati jalan yang lebih selesa dan mudah ke Pekan Bagan Datuk akhirnya menjadi kenyataan dengan sempurnanya Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Utama dari Parit 1 hingga Parit 10 Kampung Sungai Pergam, di sini semalam.

Zahid menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Jalan Utama dari Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata selain jalan utama di Kampung Sungai Pergam, jambatan sempit di Simpang Masjid AL-Quro’ juga akan dinaik taraf.
“Projek naik taraf bagi kedua laluan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM87.4 juta dan dijangka siap menjelang Ogos 2027,” katanya ketika berucap.
Tambah beliau, penduduk Hutan Melintang juga akan menerima manfaat kerana projek pembinaan jejambat di laluan simpang empat telah diluluskan dan akan dibina dalam masa terdekat.

Jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro’ yang turut akan dinaik taraf.
“Pembinaan projek yang telah dirancang ini adalah atas keprihatinan Kerajaan Madani demi memastikan rakyat menikmati persekitaran kediaman yang lebih sempurna, selesa dan kondusif,” ujarnya.
Beliau juga berharap dengan terbinanya segala kemudahan ini dapat melonjakkan lagi ekonomi penduduk Bagan Datuk khususnya dalam sektor pelancongan.
-ZS-