Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

PENTARAMA Suntik Elemen Patriotik di Pameran Raja Kita

By 10 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Lydia Humphery Tungkat/Lee Nyuk Lan (Sarawak)

KOTA SAMARAHAN, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Persembahan Hiburan Berinformasi PENTARAMA Jabatan Penerangan Sarawak merupakan salah satu pengisian program Pameran Raja Kita sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 yang berlangsung di The Summer Mall dari 5 hingga 8 September lalu.

PENTARAMA yang turut bersiaran secara langsung pada 6 September lalu melalui Facebook media sosial Jabatan Penerangan Sarawak telah berjaya menarik perhatian pengunjung dengan menonjolkan elemen patriotik bagi menyuntik semangat patriotisme sambil berhibur sempena pameran tersebut.

Dasar-dasar kerajaan dan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) turut dipersembahkan dalam persembahan yang kreatif dan penuh semangat membara dalam menterjemahkan konsep cinta akan negara.

Effi Aruan.

Penolong Eksekutif Pejabat Pengarah Felcra Sarawak, Effi Aruan, 33, memuji inisiatif Jabatan Penerangan melalui artis-artis PENTARAMA yang menghiburkan pengunjung sambil menerapkan mesej-mesej berkaitan dasar-dasar kerajaan sebagai satu maklumat hibur yang berkesan untuk mendekati masyarakat dengan sejarah dan ketatanegaraan.

“Dengan menggunakan pendekatan ini, sketsa yang bertemakan 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) harus diteruskan kerana ia mampu memberi impak yang amat memberangsangkan dan secara tidak langsung berupaya membawa kesedaran kepada masyarakat akan pentingnya semangat Jiwa Merdeka dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Selain itu, persembahan hibuaran dan sketsa ini turut membantu dalam memperkayakan pengetahuan rakyat mengenai sejarah raja dan negara,” katanya semalam.

Hasmiliya dari Sekolah Kebangsaan Segali, Simunjan.

Sementara itu, Hasmiliya, 40, dari Sekolah Kebangsaan Segali, Simunjan, menganggap pameran ini sebagai peluang berharga kepada para pelajar khususnya untuk mendalami aspek sejarah institusi raja yang jarang disentuh di dalam buku teks.

“Pameran ini telah memberi peluang yang jarang ditemui dalam mempelajari tentang institusi raja secara lebih mendalam.

“Saya cadangkan agar pameran ini diadakan secara berkala dan dalam tempoh yang lebih lama, serta melibatkan lebih banyak sekolah. Ini akan memberi peluang kepada para pelajar untuk mendalami dengan lebih lanjut mengenai sejarah kebangsaan,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda