
Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim (Jeli)
JELI, 19 September 2024 (Malaysiaaktif) – Sempena Maulidur Rasul 1446H kali ini, seramai 200 orang penduduk kampung bersama anak-anak kariah Masjid Al Islah Sungai Santan telah mengadakan perarakan Maulidur Rasul bagi menzahirkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Perarakan ini bermula seawal jam 8 pagi dan diketuai oleh Tuan Imam Haji Raja Ashaari Raja Ismail serta ahli jawatankuasa masjid berarak sejauh 2 kilometer selama kurang satu jam.

Perarakan diketuai oleh Imam Masjid Al Islah Mukim Sungai Santan Hj Raja Ashaari Raja Ismail
Imam Masjid Al Islah Raja Ashaari berkata, objektif perarakan ini ialah untuk menyemarakkan sambutan hari kelahiran keputeraan baginda Rasulullah SAW dan turut sama menghayati perjuangan Baginda dalam menyebarluaskan syiar Islam.
“Biarpun baginda telah wafat, namun perjuangan baginda menyebarkan ilmu, kedamaian, keadilan dan kebaikan tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya ia akan tetap diteruskan oleh kita selaku umat baginda,” katanya.
Penduduk kampung yang turut serta dalam perarakan, Ahmad Muhsin Mat Shahih, 45, berkata dengan komitmen penduduk kampung melalui program ini dapat menzahirkan rasa syukur umat Islam kepada Allah SWT atas kelahiran insan agung dan mulia ini.
Pelbagai acara turut diadakan sempena sambutan ini termasuk pertandingan mewarna, pertandingan basikal berhias, pertandingan gubahan kek dan pulut.
Program ini melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela Daerah Jeli.
-AA-