Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Perarakan Motobot Suatu Pengalaman Indah

By 1 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zulfadli Ab Hamid/Suhaimi Nik Wil

KUALA KRAI, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Bagi menyemarakkan semangat menyambut Bulan Kebangsaan, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Krai telah mengadakan Perarakan Motobot sambil mengibar Jalur Gemilang bermula dari Jeti Tangga Bradley Kuala Krai ke Kampung Bahagia.

Program yang bermula sejak jam 8.00 pagi Jumaat lalu itu turut mendapat sambutan ramai.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai Nik Aula Nik Soh, program yang dilaksanakan kali ini agak berbeza kerana bukan sekadar perarakan tetapi sepanjang perjalanan akan singgah di setiap jeti kecil untuk memasang Jalur Gemilang dan destinasi terakhir adalah di Kampung Bahagia.

Presiden Lions Club Kuala Krai menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.

“Program ini turut mendapat kerjasama baik daripada pelbagai pihak terutama Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Krai, Lions Club Kuala Krai, Persatuan Kuala Krai Care serta semua Komuniti MADANI sekitar DUN Guchil,” katanya.

Presiden Lions Club Kuala Krai Gordon Wong, 45, berkata ini merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan beliau kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Kampung Bahagia dan menjadi pengalaman yang indah kerata datang dengan menaiki motobot sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

“Aktiviti sebegini wajar diadakan setiap tahun kerana ia dapat memupuk semangat patriotik dikalangan seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Penduduk dan ahli Komuniti MADANI yang turut serta dalam perarakan motobot.

Aktiviti ini mendapat sambutan dari Komuniti MADANI Guchil, Komuniti MADANI Harapan Kuala Krai dan Komuniti MADANI Perpaduan Guchil.

Program ini dilaksanakan sebagai usaha menyemarakkan semangat cintakan negara dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat terutama agensi kerajaan dengan masyarakat.

Menurut salah seorang penduduk Kampung Bahagi Sinarwati Jusoh, 68, beliau turut teruja kerana penganjur berbesar hati memilih kampung mereka sebagai destinasi untuk mengadakan program.

“Kami penduduk kampung berasa gembira apabila jabatan kerajaan sudi mengadakan program di sini yang agak pedalaman dan perlu menaiki bot untuk sampai ke sini,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda