
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman (Machang)
MACHANG, 7 Sep (Malaysiaaktif) –Wau atau layang-layang merupakan salah satu permainan tradisi rakyat di negeri Kelantan yang sangat popular satu ketika dahulu dan dimainkan sejak beratus tahun.
Kini, permainan wau sangat terkenal di negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu dan sering kali dimainkan di kawasan lapang seperti pantai, padang dan sawah padi.

Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan wau oleh Pegawai Penerangan Daerah Machang, Wan Seman Wan Bedollah.
Walaupun generasi muda zaman kini terdedah kepada permainan yang dikatakan menepati cita rasa dan lebih moden seperti permainan video, go kart, mendaki bukit dan sebagainya, namun masih wujud golongan muda yang meminati serta tidak melupai kewujudan permainan tradisional.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Tok Bok Sa’idi Mahsor, 54, penganjuran permainan wau ini boleh memupuk generasi muda dalam memartabatkan permainan sukan tradisional tersebut,
“Wau bukan sahaja dimainkan sebagai hiburan oleh pelbagai peringkat umur ketika waktu lapang, malah ia diadakan sebagai pertandingan,” katanya semasa ditemui di program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani @Merdeka Komuniti MADANI Tok Bok dan Pesta Wau Merdeka 2024 di Padang Kampung Jelutong, pagi semalam.

Ketua Komuniti MADANI Tok Bok.
Tambah Sa’idi, dalam pertandingan wau, antara perkara yang dinilai adalah melibatkan bentuk kecantikan wau, ukurannya, keaslian ciptaan dan corak ciptaannya.
“Selain itu, wau yang mampu naik tinggi dan mempunyai corak tercantik akan dikira sebagai pemenang,” katanya.
-ZS-