
Laporan/foto: Muhammad Fakhri Md Nor/Husney Hamid(Manjung)
BERUAS, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak lapan kumpulan terdiri daripada persatuan dan badan uniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, Beruas menyertai Pertandingan Koir Merdeka anjuran Pejabat Penerangan Daerah Manjung di Dewan SMK Raja Shahriman, di sini semalam.

Barisan juri Pertandingan Koir Merdeka.
Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Kelab Malaysiaku SMK Raja Shahriman itu diadakan bagi memperkasakan semangat cintakan tanah air dan membina jati diri yang jitu dalam kalangan pelajar bertepatan tema Hari Kebangsaan 2024 Malaysia Madani: Jiwa Merdeka.
Pegawai Penerangan Daerah Manjung Anita Omar meluahkan rasa teruja melihat komitmen yang diberikan oleh para pelajar dan guru dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
“Saya berharap penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada anak muda untuk menjadi pemimpin yang berjaya pada masa hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan program.

Sekitar suasana program bersama pelajar SMK Raja Shariman.
Pelbagai aktiviti menarik turut disusun antaranya nyanyian lagu patriotik, ceramah kemerdekaan dan edaran bahan penerbitan.
-ZS-