Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pesta Berakit Selami Pengorbanan Pejuang Negara

By 9 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh

TANAH MERAH, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Buat julung kalinya, pesta berakit beramai-ramai diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan mengenang kembali sejarah pejuang kemerdekaan negara yang berusaha menuntut kemerdekaan negara.

Persatuan Kebajikan, Kesejahteraan dan Keselamatan Penduduk Kampung Bukit Kechik dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Kechik, Yayasan Mahsari Group dan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Kelantan telah mengadakan Program Kesejahteraan Komuniti Berakit Jiwa Merdeka di Pulau Tebing Tinggi, Sungai Jegor, di sini semalam.

Orang ramai yang hadir memberi sokongan kepada peserta pertandingan berakit merdeka.

Pengerusi Persatuan Kebajikan, Kesejahteraan dan Keselamatan Penduduk Kampung Bukit Kechik Mohd Noor Hassan, berkata program ini diadakan bagi mengenang semula nostalgia generasi lama yang sanggup menaiki perahu atau rakit menyusuri sungai bagi menaikkan semangat menuntut kemerdekaan negara.

“Masyarakat hari ini terutama generasi muda tidak tahu kesukaran dan cabaran yang perlu ditempuhi pejuang dalam menuntut kemerdekaan,” katanya.

Penganjur program Saufi Dollah, berkata dalam masa sama program ini dilaksanakan bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk tempatan dan kerjasama erat bersama jabatan kerajaan.

Salah seoprang penduduk Ismail Daud, 68, atau dikenali Pak Belalang, berkata beliau tetap bersemangat dan bangga kerana negara kita mencapai kemerdekaan dalam suasana aman dan harmoni.

Muhd Nor Aswadi menyampaikan hadiah cabutan bertuah seekor kambing jantan kepada pemenang.

“Generasi muda sewajarnya mengenang sejarah pejuang dahulu yang sanggup bergadai nyawa mencapai kemerdekaan dengan mengamalkan nilai-nilai murni,” katanya.

Antara jabatan kerajaan yang turut serta dalam program ini adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Mahsari Group Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.

Turut hadir Pengarah JaPen Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md.Nor, Pegawai Penerangan Daerah Tanah Merah Mohd Sanusi Ariffin dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda