Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pesta Tanglung Lonjak Seni Budaya Malaysia

By 18 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Azmi Abd. Rahman

MACHANG, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Pesta Tanglung merupakan satu perayaan tradisional masyarakat Cina yang melambangkan penyatuan, cahaya harapan dan kebahagian.

Upacara melepaskan tanglung ke udara oleh masyarakat Cina.

Perayaan yang disambut setiap tahun pada hari ke-15 dalam bulan pertama kalendar Cina dan turut dikenali sebagai ‘Tahun Baru Kecil’ bukan sahaja menjadi platform untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain tetapi menjadi wadah menyemai sikap menghormati adat resam serta budaya masyarakat pelbagai kaum.

Bersempena program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti Madani@Merdeka Kampung Baru Temangan, Pesta Tanglung dengan tema ‘Kemegahan Pesta Tanglung, Mempererat Jalinan Madani’ telah diadakan di Dewan Bio Oon Hu Ong Ear, di sini kelmarin.

Kemeriahan perayaan ini disambut baik semua masyarakat pelbagai kaum dengan aktiviti perarakan dan pelepasan tanglung beramai-ramai melibatkan pelbagai peringkat usia termasuk golongan remaja dan kanak-kanak.

Menurut Niu Kim Leen, 33, pesta ini bukan sahaja perayaan tradisi masyarakat Cina semata-mata, tetapi merupakan seni budaya yang menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Niu Kim Leen.

“Tanglung dilepaskan sebagai simbolik kepercayaan masyarakat Cina iaitu sebelum tanglung dibakar, mereka akan berdoa seterusnya dilepaskan ke udara supaya doa dan hajat mereka dikabulkan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan seorang guru melahirkan rasa gembira kerana pesta ini mampu memupuk semangat muhibah, toleransi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah sukaneka, pertandingan makan buah tembikai, cabutan bertuah, teka berat buah-buahan dan pertandingan hiasan Tanglung Tercantik.

-ZS-

Tinggalkan komen anda