Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

PJR Madani Bergerak Daerah Matu Mendapat Sambutan

By 12 September 2024September 29th, 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhafizah Yusof/ Nurshani Amsain (Sarawak)

MATU, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) Madani Bergerak di daerah ini yang diadakan di tapak letak kereta Medan Niaga Matu mendapat sambutan yang baik berikutan harga barangan asas yang dijual adalah amat berbaloi bagi penduduk.

Menurut penyelaras program daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Daerah Mukah, Angeline Richard, 24, ini merupakan PJR kali ke-27 dilaksanakan oleh pihak KPDN sejak bulan Januari sehingga Ogos tahun ini.

Keadaan cuaca yang panas semasa PJR.

“Kebanyakan pengunjung yang datang adalah orang kampung sini dan terdapat juga pengunjung dari Daerah Daro.

Hot item (barang paling laris) untuk jualan rahmah kebiasaannya adalah beras AAA Boy dan biasanya untuk satu PJR sejumlah 200 hingga 300 unit kampit beras akan terjual,” katanya semalam

Tambahnya lagi, selain beras, minyak masak, tepung gandum, gula dan pencuci pinggan mangkuk yang berjenama merupakan antara barangan yang mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.

“PJR telah bermula dari pukul 7.00 pagi, tetapi penduduk kampung Matu sudah tiba seawal pukul 6.30 pagi.

“PJR ini akan berlangsung selama tiga hari dan kebiasaannya akan tamat pada pukul 4.00 petang atau sehingga semua barangan sudah habis terjual mengikut peruntukan sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya.

Suasana PJR di tapak perkarangan tempat letak kereta Medan Niaga Matu.

Pengunjung Anawati Kipeli, 34, sangat berpuas hati dengan harga barangan yang ditawarkan kerana ia dijual dengan harga yang sangat murah berbanding harga pasaran.

“Saya berharap agar program seperti ini akan dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Seorang pengunjung warga emas Mariam Hamid, 64, sanggup beratur mendapatkan giliran untuk membeli barangan walaupun terpaksa berpanas.

Jelasnya, program seperti ini amat wajar diadakan bagi membantu penduduk kampung untuk mendapatkan barang keperluan asas dengan harga yang berpatutan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang tinggi di samping ia membantu mereka merancang kos perbelanjaan yang lebih baik.

“Harapan saya agar Program Jualan Rahmah ini akan selalu diadakan di Matu supaya kami tidak perlu berjalan jauh lagi untuk membeli barangan keperluan asas dengan harga yang murah kerana selalunya program seperti ini selalu diadakan di daerah Daro,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda