
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 22 Sep (Malaysiaaktif) – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka ketika bencana banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak sekadar menjadi pusat untuk menguruskan mangsa banjir, malahan turut menjadi pusat interaktif dengan pelbagai aktiviti dianjurkan oleh JKM, pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada penghuninya.

Mangsa banjir yang ditemui di PPS SMK Pendang.
Salah seorang mangsa yang ditemui di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang Mohamad Khazaii Ahmad, 39, dari Taman Setia, di sini berkata beliau dan ahli keluarga amat berpuas hati dengan pengurusan di PPS ini.
“Kemudahan asas disediakan sepenuhnya termasuklah bantuan makanan yang disediakan oleh pengusaha makanan JKM yang lebih terjamin kualiti dan kebersihannya.
“Keperluan asas lain seperti kelengkapan alatan mandian, keperluan dalaman wanita, selimut, bantal, lampin bayi serta kemudahan ubat-ubatan turut disediakan,” ujarnya.
Pujian yang sama turut dilontarkan oleh seorang lagi mangsa yang ditempatkan di PPS yang sama, Azura Abdullah, 51, dari Kampung Banggol Kambing, Padang Pusing.

Pemeriksaan kesihatan di PPS SMK Pendang.
“Mangsa di sini tidak hanya dibiarkan sahaja, malahan diberikan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mangsa termasuklah bimbingan kaunseling, acara sukaneka kanak-kanak, pertandingan mewarna kanak-kanak, kelas mengaji al-Quran dan pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang,” ujarnya.
Di akhir perbualan, beliau turut mengharapkan sumbangan dari orang ramai untuk membeli peralatan membersihkan rumah seperti penyembur air bertekanan tinggi bagi memudahkan urusan pembersihan rumah yang terjejas akibat banjir.
Setakat hari ini, keadaan banjir di daerah Pendang tidak menunjukkan trend penurunan dengan jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 465 keluarga dengan 1,549 mangsa yang ditempatkan di 10 PPS sekitar kawasan Pendang.
-ZS-