Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Program ANMS dan SaKaN Tingkat Kesedaran Komuniti Terhadap Kanser

By 13 September 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

PENAMPANG, 13 Sep (Malaysiaaktif) – Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Saringan Kanser Negeri Sabah (SaKaN) daerah Penampang dianjurkan sebagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal penyakit kanser di peringkat komuniti.

Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang Dr. Nur Fadzlyanah Khusaini, berkata program ini mendidik masyarakat mengenai pentingnya menjaga kesihatan dan pengesanan awal kanser bagi membolehkan intervensi awal dapat dilakukan.

Nurul (kanan) bersama rakannya ketika mendapatkan suntikan vaksin HPV.

Jelasnya, menerusi program berkenaan masyarakat sekitar boleh mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan dan nasihat kesihatan percuma, saringan kanser, khidmat perancang keluarga selain mengikuti aktiviti pendidikan tentang gaya hidup sihat.

“Dengan kerjasama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) kita sediakan khidmat saringan kanser payu dara, iaitu mamogram dan saringan kanser usus yang turut diberikan secara percuma kepada warganegara golongan B40.

“Selain itu, kita juga ada pemberian suntikan vaksin Human Papilomavirus (HPV) bagi mencegah kanser pangkal rahim secara percuma kepada warganegara yang berumur 21 hingga 45 tahun,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Rabu.

Salah seorang pengunjung, Nurul Haziqah Adilah Sany Abdillah, 26, memberitahu program tersebut membuatkan beliau sedar akan kepentingan kesihatan terutama melibatkan penyakit kanser yang boleh dialami oleh para wanita.

Sekitar suasana program Jelajah ANMS dan SaKaN Peringkat Daerah Penampang 2024.

“Kebelakangan ini sering kita mendengar ramai dari kalangan masyarakat kita dijangkiti kanser dan kita seharusnya berjaga-jaga dan anbil peduli dan usaha pihak kesihatan ini amat baik demi keselamatan dan kesihatan kita.

“Saya datang ke program ini atas kesedaran akan bahayanya penyakit kanser dan mengambil peluang ini untuk mendapatkan suntikan vaksin yang diberikan secara percuma sebagai perlindungan daripada penyakit ini,” ujarnya.

Untuk rekod, program yang berlangsung selama tujuh hari bermula dari 6 hingga 12 September ini turut melibatkan pelbagai aktiviti antaranya saringan kesihatan dan saringan kesihatan mental, Perkhidmatan berhenti merokok, dan pameran ‘War on Sugar’.

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menerusi Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang ini juga melibatkan agensi kerajaan dan swasta sebagai rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia, Hospital Gleanegles, Prudential dan Epal Akademi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda